PETALING JAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mengesahkan telah menerima dan merekodkan dokumen berkaitan perubahan kepimpinan Perikatan Nasional (PN), termasuk pelantikan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi gabungan itu.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu dimaklumkan ROS menerusi surat rasmi bertarikh 19 Jun 2026 yang dihantar kepada beliau.
Menurutnya, ROS mengesahkan penerimaan Minit Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN bertarikh 22 Februari lalu serta mengambil maklum mengenai kelulusan peletakan jawatan Pengerusi PN sebelum ini dan pelantikan Ahmad Samsuri sebagai pengerusi baharu.
“ROS turut mengesahkan penerimaan salinan Minit Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Bilangan 1 Tahun 2026 bertarikh 14 Mac lalu bersama senarai kepimpinan dan pelantikan ahli jawatankuasa Majlis Tertinggi PN yang baharu untuk direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, PN kekal komited memastikan segala aktiviti, urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).
Beliau pada masa sama menegaskan bahawa sebarang aktiviti atau mesyuarat yang menggunakan nama PN tidak boleh diadakan tanpa keizinan Pengerusi PN, Ahmad Samsuri.
“Perkara ini penting bagi memastikan setiap urusan yang melibatkan PN berjalan secara teratur dan mengikut peruntukan yang ditetapkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














