KOTA TINGGI – UMNO membidas tindakan pihak tertentu yang terus memainkan sentimen pembebasan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai modal politik murahan untuk meraih undi pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, juga menyifatkan taktik mengeksploitasi nama bekas Perdana Menteri itu sebagai usaha sengaja untuk menanam rasa benci dalam kalangan rakyat.
“Dah cukuplah Datuk Seri Najib itu ditekan sebagainya. Dahlah dia masuk jel digunakan juga lagi menakut-nakutkan ataupun membawa kebencian terhadap BN.
“BN sangat-sangat faham bahawa apa pun keputusan, kuasa untuk menentukan masa depan Datuk Najib itu tidak ada pada BN.
“Apatah lagi, ini hanya nak pilih kerajaan negeri, bukan kerajaan pusat dan kita juga tahu bahawa soal pengampunan, ataupun apa-apa yang berkait dengan Datuk Najib itu hak mutlak dan keistimewaan budi bicara yang ada kepada Yang di Pertuan Agong,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau perkembangan projek madu kelulut UMT di PPRT Sedili Kecil, hari ini – KOSMO! ONLINE














