PADANG BESAR – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah menggunakan katrij cecair vape selepas merampas dadah disyaki jenis furanyl fentanyl bernilai RM34.31 juta dalam beberapa serbuan di Perlis sejak 1 Julai lalu.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kejayaan itu susulan penahanan seorang wanita Thailand berusia 38 tahun di Kampung Panggas, dekat sini oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau dan Padang Besar.
“Hasil pemeriksaan di sebuah stor simpanan barang menemukan 172 kotak mengandungi 75,540 katrij cecair disyaki mengandungi dadah jenis furanyl fentanyl berjumlah 188.85 liter dengan nilai RM28.33 juta.
“Susulan tangkapan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis menahan seorang lelaki tempatan berusia 68 tahun di Kampung Guar Musang, Bukit Keteri pada 2 Julai lalu,” katanya pada sidang akhbar di IPD Padang Besar di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan 35 kotak mengandungi 21,000 katrij cecair dadah jenis sama berjumlah 39.9 liter dengan nilai anggaran RM5.9 juta.
Katanya, serbuan susulan dijalankan keesokan harinya di sekitar Ulu Pauh, Arau sebelum polis menahan seorang lelaki berusia 55 tahun yang dipercayai terbabit dengan sindiket berkenaan.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah 228.75 liter dengan nilai RM34.31 juta dan rampasan ini boleh menjejaskan kira-kira 457,500 pengguna.
“Modus operandi sindiket ini dipercayai menggunakan stor simpanan barang dan rumah kediaman sebagai lokasi transit sebelum dadah berkenaan dihantar ke negara jiran,” ujarnya.
Muhammad berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek ketiga positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC), manakala dua lagi suspek didapati negatif daripada sebarang jenis dadah.
Katanya, semakan rekod lampau mendapati suspek pertama tidak mempunyai rekod jenayah, manakala suspek kedua dan ketiga masing-masing mempunyai rekod kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Racun 1952.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis masih mengesan seorang lagi suspek yang melarikan diri bagi membantu siasatan,” tambahnya.
Sebelum ini, media melaporkan dadah jenis furanyl fentanyl adalah 50 hingga 100 kali ganda lebih kuat berbanding morfin dan dikesan dimasukkan ke dalam botol cecair serta katrij vape. – KOSMO! ONLINE














