KAJANG – Polis sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan seorang pejalan kaki yang dirempuh sebuah kenderaan di Kilometer 13.0 Lebuh Raya Cheras-Kajang, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu sebuah Toyota Innova bersama lima penumpang berhenti di bahu kiri lebuh raya selepas tayar kenderaannya pancit.
Menurutnya, selepas selesai menukar tayar, mangsa bergerak ke bahagian belakang kenderaan untuk mengalihkan sebuah baldi yang diletakkan sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya.
“Ketika mengalihkan baldi tersebut, sebuah Toyota Innova berwarna merah datang lalu melanggar mangsa sebelum pemandunya meninggalkan lokasi kejadian tanpa berhenti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Faezah Mohd. Zakria di talian 012-3268496 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE















