TAMPIN – Seorang penoreh getah maut selepas motosikal Yamaha RX-Z yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum terseret ke laluan bertentangan dan dirempuh sebuah kereta di kilometer 18, Jalan Bukit Rokan, Gemencheh, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman, siasatan awal mendapati mangsa sedang menunggang motosikal dari arah Melaka menuju ke rumahnya di Felda Bukit Rokan Utara.
“Apabila tiba di lokasi kejadian yang merupakan jalan berselekoh dengan permukaan jalan basah, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh dan terseret masuk ke laluan bertentangan.
“Pada masa sama, sebuah Perodua Axia yang datang dari arah Bukit Rokan Utara menghala ke Gemencheh tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.-KOSMO! ONLINE














