NILAI – Seorang pembantu di Pejabat Perikanan Seremban maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan digilis sebuah treler di Jalan Pantai–Bukit Tangga, dekat sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 8.12 pagi, manakala kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.52 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa, Dini Fazli Abu Hassan, 26, sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Jelebu menuju ke tempat kerja di Seremban.
“Sebaik tiba di satu selekoh, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan masuk ke bawah sebuah treler yang datang dari arah bertentangan. Pemandu treler itu tidak sempat mengelak lalu menggilis kepala mangsa,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu treler berusia 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.-KOSMO! ONLINE














