GOMBAK – Seorang pelajar berusia 14 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan lalu merempuh sebuah kereta yang diparkir di bahu jalan di Jalan Kampung Sungai Chinchin Batu 7, Jalan Gombak Lama menghala ke Batu 8, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira pukul 3.23 petang melalui kaunter aduan Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang ketika mangsa menunggang motosikal bersendirian dari rumahnya di Jalan Gombak Batu 8 ¾ menuju ke Batu 7 Gombak.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai hilang kawalan secara tiba-tiba lalu melanggar sebuah motokar yang sedang diparkir di bahu jalan.
“Mangsa merupakan seorang pelajar berumur 14 tahun dan bersekolah menengah di Gombak,” katanya dalam kenyataan.
Ibrahim berkata, akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan hospital.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan,” ujarnya.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Suharman Che Musa di talian 019-675 1727 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-6126 2222.- KOSMO! ONLINE














