PETALING JAYA – Bunyi siren amaran banjir yang kedengaran di Sentul, Kuala Lumpur awal pagi ini mencetuskan kebimbangan penduduk selepas paras air sungai di kawasan berkenaan dipercayai melepasi tahap bahaya.
Menerusi satu hantaran di Threads oleh pengguna @akyem29, siren kecemasan itu dilaporkan berbunyi di sekitar Jalan Ipoh kira-kira pukul 4.27 pagi.
“Air sungai telah melebihi paras bahaya. Siren berbunyi pukul 4.27 pagi,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Dalam perkongsian lain, pengguna @sara.pdrm turut memaklumkan amaran telah dikeluarkan seawal pukul 4.30 pagi berikutan peningkatan paras air.
“Hati-hati semua. Amaran dah dikeluarkan pukul 4.30 pagi. Paras air dah cecah tahap bahaya. Banjir di banyak kawasan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” ujarnya.
Bagaimanapun, setakat ini pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi berkaitan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung situasi di kawasan tersebut.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda Kuala Lumpur serta beberapa kawasan di Selangor dari pukul 2.30 pagi hingga 7 pagi ini.-KOSMO! ONLINE
View on Threads













