PETALING JAYA – Mandat para pengundi di Johor kepada Pakatan Harapan (PH) amat penting supaya ikhtiar membangunkan negeri itu dapat diteruskan secara lebih tersusun.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia juga bagi memastikan ikhtiar berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih meyakinkan dan berkesan demi manfaat rakyat.
“Saya menyeru para pengundi agar memberikan mandat kepada PH. Pilihan raya bukan sekadar soal memilih parti atau individu.
“Yang lebih utama ialah menentukan haluan Johor untuk tahun-tahun mendatang serta masa depan yang ingin kita wariskan kepada anak-anak,” ujarnya ketika mengakhiri program di Johor bersama masyarakat Serom, semalam.
Beliau berkata, inilah masanya rakyat membuat pilihan yang akan mencorakkan kestabilan negara.
“Inilah masanya untuk rakyat mencorakkan kestabilan politik, mengukuhkan ekonomi, meningkatkan keyakinan pelabur.
“Ia juga mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta menjamin kesejahteraan generasi akan datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














