fbpx
DR. NAQIB (kiri) menyantuni beberapa penduduk yang terlantar ketika sesi walkabout kempen PRN Johor DUN Panti di Bandar Tenggara, Kota Tinggi baru-baru ini.

Mahu jadi doktor rakyat kerana pernah susah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

​KOTA TINGGI – Bertekad menterjemahkan peranannya daripada merawat pesakit di hospital kepada menjadi ‘doktor rakyat’, calon Barisan Nasional (BN) DUN Panti, Dr. Naqib Gha­zali bersedia mencurah bakti sebagai anak jati Panti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Bapa lima cahaya mata yang lahir di Bandar Petri Jaya, di sini itu menegaskan komitmennya untuk berkhidmat sebagai anak watan yang memahami setiap denyut nadi serta kronologi pembangunan kawasan berkenaan.

​“Anak tempatan lebih tahu isu dan masalah sebenar kerana mereka membesar di sini. Kita sendiri melihat proses perubahan dan kemajuan yang berlaku.

​“Dari zaman sekolah papan sekitar tahun 1991 hingga 1997 dahulu, hinggalah sekarang ba­ngunan itu sudah tersergam indah tiga tingkat. Kita saksi kepada segala perubahan di kawasan ini dan tahu apa yang diperlukan oleh penduduk setempat,” kata­nya kepada Kosmo! baru-baru ini.

​Di sebalik profil korporatnya yang gah sebagai mantan Ketua Pegawai Operasi sebuah hospital, tidak ramai yang tahu bahawa Dr. Naqib sebenarnya datang daripada keluarga yang serba kekurangan.

​Mengimbau memori kepa­yahan zaman kanak-kanak menjadi pembakar semangat utama untuk beliau bangkit sebagai ‘doktor rakyat’ yang sedia mem­bela nasib golongan marhaen.

​“Keluarga saya bukan orang senang. Saya ada 15 adik-beradik. Ibu saya bekerja sebagai kerani dengan pendapatan RM800 sebulan.

​“Bayangkan, kami pernah lima beradik terpaksa berkongsi sebuah motosikal untuk bergerak. Kami juga pernah hidup setahun tanpa bekalan elektrik kerana dipotong. Waktu itu, kami terpaksa menumpang bekalan elektrik jiran sehingga masalah selesai.

“Bukan itu sahaja, rumah kami mengalami masalah atap bocor selama 10 tahun. Namun, ibu seorang yang tidak gemar me­minta-minta bantuan kerana percaya keadaan kami akan berubah menjadi lebih baik satu hari nanti,” katanya.

Roda hidupnya mula berubah selepas berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan dan bergelar doktor.

​Menurutnya, perkara pertama yang dilakukan selepas be­kerja adalah membuat pinjaman peribadi Bank Rakyat sebanyak RM60,000 semata-mata untuk membaiki atap rumah demi ke­selesaan ibunya.

​Jelas Dr. Naqib, pengalaman merasai sendiri sepak terajang hidup sebagai orang susah memberi beliau kelebihan dari segi empati dan pemahaman mendalam tentang keperluan asas penduduk setempat.

​“Saya tahu bagaimana rasanya hidup susah di sini sebelum berjaya. Kesungguhan saya untuk berkhidmat bukan dibuat-buat kerana saya membesar bersama-sama kepayahan rakyat di sini.

​“Sebab itu saya menawarkan diri, bukan untuk mengejar kemewahan, tetapi kerana rasa puas dan syukur yang tiada galang ganti apabila dapat membantu memudahkan urusan orang lain,” katanya.

​Menolak pendekatan orang luar yang sekadar menabur janji kosong pada PRN Johor, Dr. Naqib tampil mempertaruhkan lima manifesto khusus untuk DUN Panti.

​Ini termasuklah mewujudkan platform digital bagi mempermudah aduan rakyat, memper­luas jaringan internet luar bandar hingga ke penempatan Orang Asli, serta menyelesaikan isu lampu jalan di kawasan berisiko kemalangan seperti di laluan Sungai Telor.

Beliau turut komited untuk melonjakkan lagi potensi ekopelancongan di DUN berke­naan seperti Gunung Muntahak dan air terjun Kota Tinggi, di samping menyelesaikan isu pe­nempatan generasi kedua Felda Linggiu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN