PETALING JAYA – Pelakon Abby Abadi membidas dakwaan segelintir pihak yang menuduhnya sengaja meraih perhaian menerusi isu sensasi yang sedang menimpanya semata-mata untuk melariskan perniagaan.
Pada masa sama, pemilik nama lengkap Arbaiyah Abdul Manan, 48, menyarankan individu yang tidak menyukai kandungannya agar terus menyekat (block) akaun media sosialnya daripada terus bersikap toksik.
“Ada yang kata saya keluar cerita ini sebab berniaga. Aduhai, saya tengok ada saja yang faham.
“Yang tak faham tak apalah, abaikan saja lah okey. Tak suka sekat okey.
“Yang tak berminat pun sekat saja, senang. Cakap tak suka, tak minat, tak ambil tahu tapi ikut (follow) kita, dah kenapa?,” katanya dalam hantaran Threads.
Tambah pelakon drama Gerak Khas itu aktiviti mempromosikan produk sudah menjadi rutin harian kerjayanya sejak lebih sedekad lalu, bukannya baru bermula selepas timbulnya isu-isu berbangkit.
“Saya berniaga dari 2015. Masuk link, video iklan, buat siaran langsung setiap dua hari tanpa henti.
“Mana ada sebab isu berbangkit saja baru masuk iklan berniaga.
“Setiap hari kerja ya. Saya ini hidup jenis sedar diri, banyak tanggungjawab,” katanya lagi.
Sebelum ini, ketiadaan Abby mencetuskan tanda tanya ramai apatah lagi selepas pelakon terbabit meluahkan rasa kecewa tidak menghadiri majlis ulang tahun puterinya, Marissa Dania Hakim.
Menerusi satu siri hantaran, bekas anggota Elite itu mendakwa seolah-olah dirinya dipinggirkan ketika insan kesayangan yang dijaga sendirian sejak kecil diulit bahagia.
Rentetan luahan terbuka yang membongkar kembali sejarah pahit lampau, netizen ‘menyerang’ bekas suami, Norman Hakim serta isterinya, Memey Suhaiza di laman sosial.
Bagaimanapun, Marissa tampil menafikan dakwaan dia sengaja tidak mengundang ibunya ke majlis sambutan ulang tahunnya yang berlangsung pada Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE














