BAGAI berada dalam kapsul masa, peminat ‘dibasahi’ nostalgia apabila Hujan menghadiahkan konsert yang bukan sahaja meraikan ulang tahun dua dekad kumpulan itu, malah membuktikan legasi mereka sebagai antara band indie paling berpengaruh tanah air.
Berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil, konsert Hujan XX: 20 Tahun membuka tirai dengan penuh bertenaga apabila vokalisnya, Noh Salleh bersama anggota lain AG Coco, Izzat, Ji dan Hang Dimas mendominasi pentas dengan 45 lagu.
Raingers tegar
Bukan calang-calang penyanyi mampu ‘mengunyah’ lagu hampir tiga jam beraksi, namun Noh bersama teman seperjuangannya mengotakan janji menghiburkan peminat tegar yang menggelarkan diri mereka dengan cemerlang.
Sokongan 17,108 penonton turut melayakkan mereka menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kategori ‘Largest Audience for a Single Indie Band Live Concert’.
Dalam nuansa sarat emosi, Noh mewakili teman lain tidak ketinggalan menzahirkan penghargaan kepada semua yang setia menyokong pengembaraan Hujan sejak 20 tahun lalu.
“Saya tak sangka kami masih diberi peluang untuk berdiri di atas pentas sebesar ini selepas 20 tahun. Terima kasih kerana membesar bersama Hujan,” katanya yang disambut sorakan ribuan penonton.
Terdahulu, kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2006 itu memanaskan panggung bersama lagu Benci serta Cinta, yang disambut sorakan gemuruh khalayak.
Tanpa berceloteh panjang, mereka menaikkan graf persembahan dengan deretan lagu malar segar yang membuatkan penonton larut dibuai memori.
Bagai melalui terowong masa, seleksi seterusnya termasuk Lonely Soldier Boy daripada album ketiga yang diterbitkan pada tahun 2010 diperdengarkan, disusuli Obsesi, Sangkar Besi Di Hatiku, Gundah, Ahmoi Chantek dan Kuala Lumpur.
Melihat lautan manusia, penonton bukan hanya daripada kalangan era ‘My Space’ yang membesar dengan lagu Hujan, bahkan sebahagian besar yang menyanyi tanpa henti juga adalah kelompok Gen Z.
Boleh dikatakan katalog lagu yang banyak daripada band tersebut didendangkan penonton bersama-sama vokalisnya tanpa perlu dipelawa. Merancakkan lagi malam sehingga kelihatan beberapa kelompok penonton di bahagian berdiri di hadapan pentas membuat gerakan ‘mosh pit’.
Sudah pasti senario tersebut turut mengimbau kemasyhuran Hujan sedari zaman gig dan ‘MySpace’. Antara dendangan yang turut memanaskan suasana adalah Rahsia Tuhan, Ku Mahu Kau Tahu, Hiba, Bahagia, Luka Mana dan Inspektor Remos.
Melihat keterujaan ramai, secara tidak langsung menunjukkan Hujan serta seleksi hits mereka terus kekal relevan walau aliran muzik semasa dunia sentiasa berputar mengikut peredaran zaman.
Kemunculan bersama maestro muzik, Datuk M. Nasir menyampaikan lagu Kembara juga merupakan momen yang mencuri tumpuan apabila penghibur dan komposer prolifik itu tampil memegang payung.
Mengenakan persalinan serba putih, M. Nasir sempat melontar payung terbabit kepada penonton sebagai hadiah kepada Raingers.
“Hidup orang muda,” ucapnya sebelum berlalu meninggalkan pentas terbabit juga menjadi simbol penghormatan antara dua generasi yang banyak membentuk landskap muzik tempatan.
Selain M. Nasir, konsert berkenaan turut dimeriahkan beberapa artis jemputan lain termasuk Yuna, MonoloQue serta Fynn Jamal.
Menggandakan lagi atmosfera ‘liar’ tetapi masih terkawal, Perindu Kalbu, Empayarmu, Aku Skandal, DBS dan Ludah Amerika pula mendominasi ruang gelanggang sebelum percikan bunga api bersinar di udara.
Selain aksi sarat energi, pentas lebar dengan penggunaan visual gergasi, permainan cahaya yang memukau serta sistem audio mantap menyajikan kepuasan maksima.
Pastinya Konsert Hujan XX: 20 Tahun bukan sahaja keraian ulang tahun sebuah band, malah manifestasi keampuhan sebuah kumpulan yang mampu merentasi zaman.















