LUMUT – Tiga lelaki warga Indonesia yang berperanan sebagai penjaga rumah penampungan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seri Manjung hari ini, atas pertuduhan menyeludup 69 migran di Segari, April lalu.
Tertuduh, Adriansyah Saril, 30, Sandria Muhammad Feri, 23, Fuadi Zahrul, 21, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azizah Ahmad.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan penyeludupan terhadap 67 migran warga Indonesia dan dua migran warga Bangladesh.
Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Persiaran Presint 2/6, Taman Alamanda Presint 2, Bandar Baru Segari, Lumut antara pukul 3 hingga 7 pagi, 18 April 2026.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syamilah Jalaluddin tidak menawarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 6 Julai depan. – KOSMO! ONLINE














