SHAH ALAM – Berbaki lagi dua minggu sebelum Hari Raya Aidiladha, sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan aktif ‘memancing’ warga Indonesia yang terdesak untuk pulang beraya di kampung halaman bersama keluarga.
Kesempatan itu diambil sindiket penyeludupan dengan menaikkan tambang sehingga RM3,000 seorang berbanding sebelum ini iaitu sekitar RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap PATI.
Krisis geopolitik di Asia Barat dan cuaca yang tidak menentu ketika ini dikatakan turut dijadikan alasan oleh sindiket berkenaan untuk menaikkan harga tambang kepada warga Indonesia.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, sindiket mengambil kesempatan terhadap PATI yang terdesak dengan menggunakan alasan kos bahan api dan cuaca bagi menghalalkan kenaikan tambang meskipun perjalanan pulang secara haram itu berisiko tinggi.
“Musim perayaan dan krisis Asia Barat dijadikan alasan utama untuk menaikkan tambang sehingga RM3,000. Sindiket tahu PATI sanggup bayar walaupun mahal kerana mahu pulang segera,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut beliau, peralihan monsun yang membawa hujan lebat di Selangor turut memberikan keyakinan kepada sindiket untuk memboloskan diri melalui laluan laut ketika cuaca buruk.
Bagaimanapun katanya, Maritim Malaysia (APMM) tetap mampu mengesan pergerakan bot menerusi teknologi Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA).
“APMM bimbang sindiket menggunakan bot uzur dan membawa muatan berlebihan untuk meredah ombak besar ketika cuaca buruk. Situasi itu boleh mengundang tragedi berbahaya termasuk kehilangan nyawa,” tegasnya.
Jelas beliau, kebiasaannya PATI Indonesia akan mula bergerak pulang sekitar satu hingga dua minggu sebelum Aidiladha.
Namun katanya, risikan mendapati pergerakan nekad dijangka berlaku dalam tempoh tiga hingga lima hari sebelum sambutan perayaan itu tahun ini.
“Secara tradisinya, jumlah PATI yang keluar pada Aidiladha adalah lebih rendah berbanding Aidilfitri. Namun tetap berlaku lonjakan kerana Aidiladha dianggap signifikan bagi komuniti tertentu di Indonesia,” katanya.
Abdul Muhaimin berkata, sindiket kini dikesan semakin licik apabila menggunakan aplikasi TikTok, Telegram dan WhatsApp untuk mengiklankan perkhidmatan serta mengatur lokasi pengambilan PATI secara sulit bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Mereka juga menggunakan taktik transit ‘lompat’ apabila PATI dibawa secara berperingkat menggunakan kereta sewa atau e-hailing ke pesisir pantai sebelum dipindahkan ke bot pancung.
“Ada juga sindiket menggunakan bot nelayan untuk menyeludup PATI dalam jumlah kecil antara dua hingga empat orang bagi mengaburi pihak berkuasa” ujarnya.
Justeru katanya, APMM Selangor akan mengaktifkan Op Khas musim perayaan dengan kesiapsiagaan anggota dan aset 24 jam tujuh hari seminggu dengan aset udara digerakkan untuk memantau hot spot seperti Sabak Bernam, Sekinchan, dan Kuala Langat.
“Sepanjang Januari hingga April tahun ini, seramai 213 PATI yang dibawa masuk dan keluar secara haram berjaya ditangkap manakala 42 lagi ditahan bekerja di atas bot nelayan.
“Sebarang cubaan membolosi perairan akan dipintas. Selain penguatkuasaan, Maritim Selangor turut bersiapsiaga melaksanakan Op Carilamat susulan peralihan monsun ketika ini,” jelasnya.














