PETALING JAYA – Anak-anak diingatkan supaya sentiasa memantau aktiviti telefon bimbit ibu bapa masing-masing berikutan trend licik sindiket penipuan (scammer) yang kini dikesan giat menyasarkan golongan warga emas menggunakan modus operandi berasaskan agama dan bantuan kewangan.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Aliahshahirahhsri yang menceritakan detik cemas rakannya hampir kerugian ribuan ringgit selepas menyedari aplikasi WhatsApp ibunya dihubungi oleh seorang individu tidak dikenali.
Berdasarkan tangkap layar perbualan yang dikongsi, suspek menghantar mesej memperkenalkan diri sebagai ‘Tuan Guru Datuk Nasrul Burhan’ sebelum menawarkan bantuan kewangan berjumlah RM50,000 dan mangsa diminta membuat bayaran pendahuluan terlebih dahulu untuk proses berkenaan.
“Scammer sekarang ini memang ramai target (sasar) orang tua ya. Nasib baik kawan saya dapat semak awal WhatsApp mak dia sebab pelik mak dia ajak pergi bank nak pindahkan duit RM3,500.
“Ibu kawan saya sempat transfer (pindah) duit sebanyak RM200 kepada suspek,” katanya pada hantaran tersebut.
Lebih membimbangkan, mangsa didapati ada menjawab panggilan suara dan panggilan video daripada suspek selama seminit, sekali gus menimbulkan kerisauan kemungkinan mangsa dipukau secara maya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut berkongsi kisah malang yang menimpa ahli keluarga mereka ekoran menjadi mangsa penipuan sehingga kerugian ratusan ribu ringgit.
“Ibu saya pun dah kena tipu bagi tahun 2024 hingga 2025, hilang RM12,000. Sekarang ini bukan setakat WhatsApp sahaja, Facebook pun kena semak,” kata Amaninahusss.
“Bahaya betul orang-orang tua yang duduk kampung dan tiada siapa pantau. Jaga mak ayah korang baik-baik, sebab nanti akan susahkan kita juga,” ujar Yusriyus.me.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih peka dan kerap memeriksa telefon serta akaun media sosial ibu bapa bagi mengelakkan mereka terus menjadi mangsa manipulasi sindiket yang tidak bertanggungjawab ini. – KOSMO! ONLINE














