PETALING JAYA – Tindakan seorang jururawat yang menyelamatkan nyawa seorang wanita daripada tercekik makanan membuktikan bahawa tanggungjawab golongan itu tidak terhad ketika waktu bertugas sahaja.
Kejadian tersebut dikongsi menerusi satu hantaran di laman Facebook Public Health Malaysia (PHM) mengenai tindakan pantas Siti Maisyura, seorang jururawat dari Hospital Pantai Ipoh, Perak.
Jelas PHM, kejadian itu berlaku pada pagi 4 Mei lalu selepas Siti Maisyura selesai menamatkan syif malamnya dan sedang menunggu janji temu susulan anaknya di sebuah kafe hospital.
“Tiba-tiba suasana berubah cemas apabila seorang wanita tercekik makanan dan mula mengalami kesukaran bernafas. Dalam keadaan orang sekeliling panik, Siti Maisyura bangun dan terus membantu.
“Dengan tenang, beliau melakukan bantuan kecemasan menggunakan kaedah Heimlich. Beberapa saat kemudian, objek yang menyekat saluran pernafasan berjaya dikeluarkan dan wanita itu dapat bernafas semula,” kata PHM.
Mengulas lanjut, PHM turut menegaskan bahawa ilmu, keberanian, dan rasa tanggungjawab yang dimiliki oleh seorang jururawat akan tetap dibawa ke mana-mana walaupun mereka tidak lagi memakai uniform.
“Kadang-kadang, nyawa seseorang terselamat bukan kerana peralatan canggih ada di depan mata. Tetapi kerana ada seorang manusia yang tahu apa perlu dibuat, dan cukup berani untuk bertindak,” jelas PHM.
Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi positif daripada pengguna yang rata-ratanya memuji tindakan pantas jururawat berkenaan.
“Terbaik, semoga hari-hari jururawat ini sentiasa dipermudahkan segala urusan,” ujar Iqah Manaf.
“Moga menjadi inspirasi pada semua. Pentingnya ilmu dan keberanian,” tambah Mey Nomey pula.
Hantaran itu dimuat naik bersempena sambutan Hari Jururawat bagi menghargai jasa golongan mereka yang sentiasa bersedia membantu masyarakat. – KOSMO! ONLINE














