PETALING JAYA – Memang nampak menyelerakan, namun siapa sangka ayam goreng atau nasi lemak yang dibeli di tepi jalan mungkin sudah ‘diperisakan’ dengan asap kenderaan dan debu jalanan jika dibiarkan terdedah tanpa penutup.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Public Health Malaysia (PHM) membangkitkan kebimbangan mengenai risiko pencemaran silang yang boleh berlaku apabila makanan siap dimakan seperti ayam goreng, kuih-muih, nasi lemak dan air balang dibiarkan terbuka kepada elemen persekitaran.
Menurut PHM, makanan yang dijual di tepi jalan sepatutnya ditutup dengan baik bukan sekadar untuk nampak kemas, tetapi bagi mengelakkan sentuhan yang tidak sepatutnya.
“Ia bagi mengelakkan makanan terdedah kepada habuk jalan, asap kenderaan, lalat, percikan air, batuk, bersin dan sentuhan yang tidak sepatutnya.
“Kadang-kadang bau ayam goreng memang boleh buat orang berhenti beli. Tapi bila makanan dibiarkan terbuka di tepi jalan, selera boleh hilang sebab kita mula terfikir, apa lagi yang sudah ‘singgah’ atas makanan itu sebelum masuk ke mulut kita?” tulis hantaran tersebut.
PHM turut menasihati peniaga agar tidak menganggap teguran ini sebagai satu bebanan, sebaliknya ia adalah usaha untuk menjaga keberkatan rezeki dengan memastikan kualiti kebersihan jualan sentiasa terjamin.
“Gunakan penutup makanan, bekas bertutup, kabinet kaca atau tudung saji bagi memastikan susunan jualan tidak terlalu hampir dengan asap dan debu jalan,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut bersetuju dengan hantaran tersebut dan berkongsi keraguan mereka ketika membeli makanan di kawasan terbuka.
“Ya. Kalau yang jual nasi campur tepi jalan tu ‘nasi campur habuk’. Tu belum lagi yang jual nasi dari bonet kereta. Sah-sah tak ada sijil pengendali makanan,” komen Ashani Ahmad.
Seorang lagi pengguna, Jerenie Junau turut menegur sikap pembeli yang gemar membuat pesanan secara ‘drive-thru’ menggunakan motosikal sehingga terlalu rapat dengan tempat makanan dihidangkan.
“Pembeli pun satu hal, ada yang macam ‘drive-thru’ saja sampai bawa motor betul-betul sebelah meja penjaja. Bayar semua atas motor sebab malas nak turun,” tulisnya.
Dalam pada itu, PHM mengingatkan pembeli agar lebih bijak memilih gerai yang mementingkan aspek kebersihan kerana makanan yang bersih akan membuatkan pelanggan datang kembali tanpa rasa ragu-ragu. – KOSMO! ONLINE














