PETALING JAYA – Seorang pekerja sanggup mengangkut kuali berisi makanan ke tempat kerja semata-mata untuk berkongsi rezeki bersama rakan sepejabat.
Menerusi hantaran yang dimuat naik pengguna Fareeq_Rahim di Threads, dia berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp rakannya yang memaklumkan memasak makanan barat, spageti aglio olio untuk sarapan.
Apa yang mencuri tumpuan adalah alasan jujur rakannya yang memaklumkan dia terpaksa membawa kuali kerana ketiadaan bekas makanan di rumah.
“Saya bawa spageti aglio satu kuali, tak ada bekas la. Korang (kamu) tak payah bawa sarapan okey,” kata individu itu dalam kumpulan WhatsApp tersebut.
Pemilik hantaran itu pada mulanya menyangka rakannya hanya bergurau, namun terkejut apabila mendapati kuali berisi spageti itu benar-benar ‘mendarat’ di atas meja pejabat.
“Kau tengoklah perangai staf pejabat aku hari ini. Aku ingat dia main-main bawa kuali,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna terhibur dengan kesungguhan pekerja tersebut yang dianggap sangat ‘sporting’ dan pemurah.
“Sila habiskan sebagai menghargai usaha dia angkut kuali, berat tau,” pesan Mazeed_Esfie.
“Senang, dah habis basuh terus. Kat rumah tak payah basuh dah,” seloroh Shhrzll.
“Takpelah bang, objektifnya yang penting spageti sampai ke pejabat,” kata Zlkxrffn. – KOSMO! ONLINE














