fbpx
Muhammad Fakrul Aiman ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Klang tahun lalu

Hukuman gantung pemuda bakar kekasih hamil diganti penjara 40 tahun, 12 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggantikan hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan terhadap seorang pemuda membunuh dan membakar kekasihnya yang hamil di Sabak Bernam dalam kejadian tiga tahun lalu kepada penjara 40 tahun dan 12 sebatan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah selepas membenarkan rayuan Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 23, untuk mengetepikan hukuman gantung yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

“Ini adalah keputusan sebulat suara, mengambil kira umur muda perayu sewaktu kejadian (berusia 20 tahun) dan terdapatnya pilihan di dalam akta pemansuhan hukuman mati, mahkamah ini mengetepikan hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan hukuman pemenjaraan 40 tahun dari tarikh tangkap dan 12 sebatan,” kata Hakim Azman.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Ahmad Kamal Md.Shahid dan Datuk Seri Mohd. Radzi Harun.

Di bawah undang-undang baharu, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun.

Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun berdepan sebatan minimum sebanyak 12 kali.

Terdahulu, peguam Muhammad Nor Tamrin mewakili tertuduh memberitahu rayuan pada hari ini adalah berkaitan dengan hukuman yang mana Hakim Mahkamah Tinggi Klang terkhilaf apabila menjatuhkan hukuman yang terlalu berat iaitu gantung sampai mati terhadap perayu yang ketika kejadian berumur 20 tahun empat bulan.

“Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman gantung sampai mati setelah perayu membuat pengakuan bersalah sebelum perbicaraan bermula,” kata peguam itu.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob dalam hujahan ringkasnya berkata, hukuman dijatuhkan yang Mahkamah Tinggi Klang adalah sesuai dan adil bagi kekejaman jenayah dilakukan.

Pada 15 Oktober tahun lalu Muhammad Fakrul Aiman dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Klang selepas mengaku bersalah membunuh kekasihnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN