KANGAR – Kuala Lumpur City terus dihimpit kemarau kemenangan selepas sekadar meraih keputusan seri 1-1 menentang Star City pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Syed Putra, sebentar tadi.
Dalam tiga aksi terakhir liga, The City Boys hanya mampu mengutip satu mata sekali gus menyaksikan skuad kendalian Datuk Dollah Salleh terus bergelut di kelompok bawahan dengan mengumpul tujuh mata daripada lapan perlawanan.
Terdahulu, kedua-dua pasukan saling mengatur serangan dan mencipta beberapa peluang terbaik, namun ketumpulan penyudah menyaksikan kedudukan kekal tanpa jaringan sepanjang 45 minit pertama.
Empat minit selepas aksi bersambung, Star City menerusi Pedro Henrique hampir menghadirkan ancaman buat KL City, namun usaha pemain Brazil itu terbatal selepas terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan offside.
Meskipun tempo perlawanan sedikit perlahan, kedua-dua pasukan tetap mempamerkan aksi seimbang sebelum KL City memperoleh peluang terbaik pada minit ke-62 apabila Kamal Azizi dijatuhkan Aiman Khairul Yusni di dalam kotak penalti.
Ketua pasukan, Giancarlo Gallifuoco yang diberi tanggungjawab menyempurnakan sepakan penalti itu tenang menewaskan penjaga gol Star City, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy untuk meletakkan KL City di depan.
Star City hampir dihukum sekali lagi apabila Fareed Sadat merobek gawang tuan rumah pada minit ke-77, namun jaringan itu dibatalkan selepas Ahmad Hazwan Bakri terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan offside.
Bagaimanapun, usaha Star City akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-82 apabila pemain gantian, Ramon Machado membalas kepercayaan diberikan dengan meledak gol penyamaan, sekali gus memaksa KL City pulang dengan hanya satu mata. – KOSMO! ONLINE













