KULIM – Seramai 79 mangsa daripada 20 keluarga terjejas selepas 20 buah rumah di Taman Sang Kancil, Lunas, di sini dilanda banjir kilat.
Hujan lebat melanda daerah ini sejak pukul 3 petang tadi turut menyebabkan air melimpah ke jalan raya serta kawasan-kawasan yang rendah kira-kira pukul 8 malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, berdasarkan laporan awal Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kulim, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Surau Taman Sang Kancil bagi menempatkan penduduk yang terjejas.
“Daripada jumlah keseluruhan mangsa, seramai 31 lelaki dewasa dan 33 wanita dewasa dikenal pasti selain sembilan kanak-kanak serta dua bayi.
“Mangsa termasuk dua warga emas dan dua orang kurang upaya wanita dalam kalangan mangsa terjejas,” katanya. – KOSMO! ONLINE














