ALOR SETAR – Sikap rakyat Malaysia yang pemurah, baik hati dan suka menderma seolah-olah ‘dipergunakan’ oleh pengemis warga asing untuk mendapatkan wang dengan cara mudah tanpa mereka perlu bekerja.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, situasi itu secara tidak langsung menggalakkan lagi kegiatan mengemis dengan ada yang menjadikan lokasi tumpuan ramai termasuk pasar pagi dan pasar malam sebagai lubuk pendapatan.
Katanya, terdapat dua jenis pengemis iaitu pengemis persendirian yang mengemis sendiri untuk meraih pendapatan mudah, manakala satu lagi pengemis yang didalangi sindiket.
“Mereka ini kebanyakannya sihat dan mampu bekerja, namun memilih jalan mudah untuk mendapatkan keuntungan cepat dengan menggunakan kaedah simpati orang ramai.
“Rakyat Malaysia yang baik hati dan suka menderma dipergunakan oleh mereka ini. Situasi itu boleh dianggap sebagai eksploitasi simpati orang awam,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian, kegiatan pengemis warga asing telah lama berlaku dan dilihat semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.
“Selain pasar pagi dan pasar malam, lokasi yang dikesan adalah di hadapan mesin pengeluaran wang (ATM), kedai makan, pusat beli-belah, stesen bas dan kawasan tumpuan orang ramai.
Kebanyakannya etnik Rohingya dan Indonesia,” katanya.
Katanya, kehadiran golongan tersebut turut mendatangkan ketidakselesaan kepada pengunjung.
“Selain mengganggu keselesaan, ada antara mereka yang tidak menjaga kebersihan dan menyebabkan kawasan sekitar menjadi kotor,” jelasnya.
Susulan itu, beliau berharap pihak berkuasa seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, imigresen dan pihak berkuasa tempatan dapat mengambil langkah penguatkuasaan bagi membendung gejala ini.
“Pengguna juga dinasihatkan supaya tidak memberi derma kepada mereka ini,” tambahnya.














