fbpx
Murshid (dua kiri) bersama rakannya memegang tong diesel yang telah kosong di hadapan jentera menuainya di Pasir Panjang, Sabak Bernam. FOTO: AFIQ RAZALI

Mesin ada, diesel tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SABAK BERNAM – Krisis bekalan diesel bagi jentera menuai padi kini dilihat mengancam keterjaminan makanan di Selangor apabila kira-kira 42,000 tan pengeluaran padi di empat kawasan utama di sini, berisiko terjejas sekiranya masalah itu berlarutan.

Isu berkenaan membabitkan kira-kira 2,900 pesawah di Sekinchan, Sungai Leman, Pasir Panjang dan Sungai Nipah ketika musim menuai sedang memuncak namun operasi penuaian didakwa terganggu akibat kekangan bekalan bahan api.

Pemilik jentera, Murshid Ahmad, 51, berkata, keperluan sebenar operasi menuai mencecah 200 liter diesel sehari, namun kuota yang dibenarkan hanya sekitar 20 liter sekali gus menjejaskan kecekapan kerja di lapangan.

Katanya, kuota 20 liter itu hanya dapat menuai separuh daripada satu lot sawah sahaja.

“Satu lot sawah bersamaan 1.2 hektar, dan kekangan tersebut menyebabkan banyak kawasan tidak dapat dituai tepat pada masa.

“Kami bukan minta subsidi, kami beli pada harga pasaran. Tetapi 20 liter hanya mampu siapkan sebahagian kecil sahaja dan ia merugikan bukan sahaja pesawah malah pemilik jentera,” katanya kepada ketika ditemui di Pasir Panjang di sini, hari ini.

Menurutnya, keadaan itu memberi kesan langsung kepada jadual penuaian yang sangat bergantung kepada cuaca serta tahap kematangan padi di sawah.

“Terdapat kira-kira 80 pemilik jentera dengan anggaran 200 mesin penuai mampu beroperasi ketika musim menuai.
Amatlah rugi sekiranya jentera-jentera ini tidak dapat dioptimumkan penggunaannya,” jelasnya.

Seorang lagi pengusaha, Mohd. Ridzuan Arbi, 38, memaklumkan terpaksa berulang-alik ke sehingga 10 stesen minyak dari Tanjong Karang hingga Sungai Besar semata-mata untuk mendapatkan bekalan diesel mencukupi.

“Permohonan dalam talian juga ditolak kerana perlu sertakan geran tanah. Dalam kes saya ada 70 pemilik tanah melibatkan 100 lot, mustahil untuk lampirkan semuanya,” katanya.

Menurutnya, kelewatan mendapatkan diesel bukan sahaja meningkatkan kos operasi malah menyebabkan hasil tuaian pesawah menjadi lebih rendah.

“Upah kami bergantung kepada jumlah hasil tuaian dengan satu tan berjumlah RM130.

“Seharusnya pihak berkuasa memudahkan proses ketika musim-musim menuai ini. Sekarang mesin ada, tetapi diesel tiada,” tegasnya.

Bagi pesawah, Sulbani Abd. Karim, 60, situasi itu amat merugikan susulan telah melabur sehingga RM10,000 bagi satu lot sawah sepanjang musim pertama tahun ini.

Namun katanya, kelewatan menuai boleh menjejaskan berat bersih dan harga jualan padi.

“Saya ada 10 lot sawah perlu dijaga. Bayangkan berapa banyak kos perlu ditanggung semusim.

“Kalau lambat tuai, mutu padi jatuh dan harga pemutuan pun rendah,” katanya.

Sementara itu, Roslan Badron, 58, yang mengusahakan 15 lot sawah terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kemampuan pemilik jentera mendapatkan diesel.

Tegasnya, dia amat berharap memperoleh hasil padi yang memberangsangkan tahun ini berbanding musim lalu hanya sekitar lima tan bagi satu lot susulan serangan serangga perosak.

“Sepatutnya isu ini tidak timbul kerana ia melibatkan keterjaminan makanan. Perkara-perkara sebegini boleh menyebabkan generasi muda tidak mahu terlibat dalam aktiviti sawah padi.

“Setiap musim pasti ada kesulitan dihadapi termasuk peratusan harga pemutuan, bekalan air dan sebagainya,” jelasnya.

Dalam pada itu, difahamkan 70 peratus keluasan tanaman di empat kawasan berkenaan melibatkan padi benih yang benihnya akan dijual kepada negeri lain bagi tujuan penanaman padi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN