fbpx
Pegawai serbuan melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian di Jalan Klang-Banting, Jenjarom.

‘Lubuk’ seludup minyak hitam diserbu lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Sebuah premis perindustrian di Jalan Klang-Banting, Jenjarom yang dipercayai pernah diserbu sebelum ini sekali lagi dikesan menjadi ‘lubuk’ kegiatan penyeludupan minyak hitam pelbagai jenis secara haram, semalam.

Serbuan kira-kira pukul 10.40 pagi itu dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang menerusi Op Landai selepas anggota operasi mengesan sebuah lori tangki dalam keadaan mencurigakan memasuki premis berkenaan.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, hasil pemeriksaan mendapati aktiviti pemindahan minyak hitam pelbagai jenis sedang dilakukan dari lori tangki ke tangki
Intermediate Bulk Container (IBC) yang berada di dalam premis tersebut.

Katanya, pihaknya turut menahan dua lelaki yang merupakan pekerja premis berkenaan serta seorang pemandu lori berusia antara 34 hingga 44 tahun.

“Hasil serbuan itu membawa kepada rampasan dua buah lori tangki, 36 tangki IBC yang dipenuhi minyak dan empat skid tank.

“Turut dirampas empat mesin pam minyak, lapan hos minyak, dua forklift serta sebanyak 76,800 liter minyak pelbagai jenis dengan anggaran keseluruhan rampasan sebanyak RM671,900,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, siasatan awal turut mendapati pasaran minyak hitam seludup itu untuk sekitar negeri ini.

“Kes disiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, pihak Majlis Perbandaran Kuala Langat telah menyita premis berkenaan manakala lima sampel minyak pelbagai jenis dihantar ke Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,350 terhadap pemandu lori terbabit melibatkan sembilan kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN