ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas ditembak dalam kejadian di hadapan sebuah premis pusat hiburan di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa lelaki tempatan berusia lingkungan 27 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut daripada seorang wanita tempatan berusia 27 tahun.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan sebelum beberapa das tembakan dilepaskan.
“Seorang mangsa lelaki tempatan berusia lingkungan 27 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat terkena tembakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, seorang lagi lelaki tempatan berusia lingkungan 27 tahun turut mengalami kecederaan akibat terkena tembakan dalam insiden tersebut.
Tambahnya, polis turut percaya terdapat seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan namun identitinya masih belum dikenal pasti.
“Mangsa dipercayai dibawa keluar dari lokasi kejadian oleh kenalannya selepas insiden berlaku dan diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
Menurut Kumarasan, polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Afiq Izani di talian 019-3683036 atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














