PETALING JAYA – Dua pelumba cilik daripada pasukan Teguh Motor77Hub Racing Team menerima tajaan penuh daripada Liqui Moly Malaysia yang bakal bersaing dalam perlumbaan RCB MotorKidz 2026 bermula 17 Mei ini.
Ia sekali gus merupakan komitmen pengeluar minyak pelincir dan aditif terkemuka dari Jerman itu dalam menyokong pembangunan sukan permotoran negara melalui inisiatif strategik termasuk menaja pelumba cilik pasukan berkenaan, Uwais Abdulmuiz dan Kidden Khoo masing-masing berusia 9 tahun.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Liqui Moly Malaysia, Charlie Tan berkata pihaknya sentiasa menyokong aspek pembangunan dunia permotoran di negara ini agar bakat pelumba-pelumba cilik ini tidak disia-siakan.
“Kita ingin lihat sukan permotoran di Malaysia dibarisi oleh bakat-bakat muda yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. Ia bermula dari pelumba-pelumba cilik ini yang mempunyai bakat dan perlu disokong dan dibantu dari aspek kewangan dan pembangunan seperti latihan untuk kita mempersiapkan mereka sebagai pelapis sedia ada,” katanya pada majlis pertemuan bersama dua pelumba cilik berkenaan di Damansara baru-baru ini.
Baru-baru ini, kerajaan menegaskan kos tinggi dalam sukan permotoran memerlukan kolaborasi strategik yang lebih kukuh dengan sektor swasta, dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan.
Menurut Ketua Pasukan Teguh Motor77 Hub Racing Team, Abdulmuiz Mohd. Sabri, sebagai bapa beliau berharap lebih ramai pihak swasta tampil untuk memberi sokongan terutama aspek kewangan untuk membangunkan bakat pelumba-pelumba cilik ini.
“Negara perlukan lebih ramai pelapis Hakim Danish dan Qabil Irfan. Semuanya bermula dari pelumba-pelumba cilik yang diasah bakat bermula dari umur 6 tahun lagi. Kita faham apa yang dialami kerajaan waktu ini.
“Kita tidak mahu jauh ketinggalan, dan ini adalah permulaan dalam pembangunan bakat sukan permotoran. Bakat anak-anak ini tidak boleh dipersia-siakan. Negara Asia seperti Indonesia dan Thailand mereka semakin rancak melahirkan pelumba-pelumba muda yang semakin naik di persada antarabangsa,” katanya.
Justeru ujarnya, kerjasama dan perhatian syarikat swasta sangat membantu terutama dari aspek kewangan untuk anak-anak kami.
Kejuaraan MotoKidz RCB akan menampilkan 16 pelumba cilik berusia dari 6 hingga 9 tahun.
Kejuaraan ini akan diteruskan untuk musim kedua dengan lima pusingan, sebagai kelas sokongan kepada perlumbaan FIM MotoMini Malaysia.
ZK Racing terus diberi tanggungjawab membangunkan bakat muda sukan permotoran negara menerusi kejuaraan berkenaan. – KOSMO! ONLINE














