ALOR SETAR – Deretan puluhan gerai perniagaan yang dipenuhi pengunjung setiap malam dijadikan pengemis warga asing sebagai peluang paling mudah untuk mengaut keuntungan lumayan yang dipercayai mencecah sehingga ratusan ringgit sehari.
Dengan hanya berbekalkan tongkat, wajah penuh simpati dan bekas plastik untuk menggoncang duit, pengemis ini yang dipercayai kebanyakannya dari etnik Rohingya turut menjadikan pasar pagi sebagai lokasi tetap mencari sumber pendapatan.
Lebih membimbangkan, kegiatan tersebut dikatakan semakin terancang apabila terdapat individu tertentu dipercayai bertindak menghantar dan mengambil mereka menggunakan kenderaan sebelum mereka bergerak ke lokasi lain.
Modus operandinya mudah, iaitu pengemis warga asing ini akan bergerak dari satu pasar ke pasar yang lain hampir setiap hari dengan ada yang berpura-pura sakit atau mengalami kecacatan, selain mendakwa memohon sumbangan untuk pelbagai tujuan.
Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Suara Orang Changlun, Mohd. Zaidi Desa berkata, kegiatan meminta sedekah oleh warga asing dipercayai etnik Rohingya di Pasar Malam Changlun sudah berlarutan sejak lebih dua tahun lalu.
“Sudah lama saya lihat lelaki warga asing kudung dan bertongkat mengemis di Pasar Malam Changlun pada setiap Rabu. Baru-baru ini pun dia ada duduk mengemis dengan cara menggoncang bekas,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, secara kebetulan ada orang awam melihat sebuah kereta Proton Persona menghantar peminta sedekah berkenaan di lorong belakang kedai berhampiran tapak pasar malam.
Katanya, selain daerah Kubang Pasu, warga asing sama turut didakwa pernah dilihat mengemis di pasar malam sekitar Pendang dan Sungai Petani.
“Dia memang tiada kerja lain selain mengemis. Perlakuannya nampak kasar kerana akan menunjukkan reaksi tidak puas hati jika pengunjung tidak beri wang,” ujarnya.
Menurutnya, warga asing itu dipercayai mampu memperoleh kira-kira RM300 sehari jika aktif meminta sedekah di pasar pagi dan pasar malam.
Dakwanya, selain etnik Rohingya, terdapat juga pengemis dipercayai warga Thailand yang meminta sumbangan kononnya untuk tujuan tertentu.
“Sudah tiga tahun saya nampak warga Thailand itu. Saya pernah minta surat kebenaran untuk meminta sumbangan, dia hanya keluarkan kertas fotostat yang nampak lama dan disyaki palsu,” katanya.
Tambahnya, selain meminta sumbangan, terdapat juga warga Thailand yang menjual barangan seperti makanan ringan di persimpangan lampu isyarat.
Penduduk Jitra, Mohd. Shahrin Abu Bakar, 33, berkata, kegiatan pengemis warga asing itu semakin rancak terutama pada bulan Ramadan apabila mereka turut beralih ke bazar-bazar Ramadan.
“Warga asing kebanyakannya etnik Rohingya ini suka mengemis di pasar kerana mudah dapat wang daripada pengunjung. Orang kita pula terlalu pemurah, jadi kegiatan ini sukar dihentikan jika terus diberi wang,” katanya.
Menurutnya, ada pengunjung yang memberi wang kecil seperti RM1, malah tidak kurang juga yang memberi RM5 dan RM10.
“Saya percaya mereka ini boleh dapat sehingga ratusan ringgit sehari,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau mengakui ada pengemis yang turut dibantu ahli keluarga termasuk isteri dan anak-anak untuk mengumpul wang serta memantau keadaan sekitar sekiranya terdapat pihak berkuasa.
“Ada juga anak-anak yang datang ambil duit, jadi kalau ditahan pihak berkuasa, wang itu sudah tidak ada pada mereka,” dakwanya.
Selain itu, kegiatan sama turut dilihat berlaku di pasar malam di Langkawi yang turut membabitkan lelaki warga asing dipercayai etnik Rohingya.














