fbpx
Gambar hiasan

MBSB Bank sedia kemudahan SME SRF sehingga RM750,000 kepada PKS terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) melancarkan Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SME SRF), sebuah inisiatif pembiayaan strategik yang direka untuk menyediakan sokongan modal kerja tepat pada masanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia yang berdaya maju.

Kemudahan ini selaras dengan dana RM5 bilion Bank Negara Malaysia (BNM) yang ditubuhkan bagi membantu perniagaan menguruskan gangguan operasi dan kekangan aliran tunai akibat konflik geopolitik yang berterusan di Asia Barat.

SME SRF ini khusus untuk PKS Malaysia yang mengalami tekanan kewangan akibat gangguan perdagangan dan rantaian bekalan sejak Mac 2026.

Ketua Pegawai Perbankan Komersial Kumpulan MBSB Berhad, Noor Mohamed Amin Mohamed berkata, dengan menyediakan kecairan penting, MBSB Bank berhasrat menyokong perniagaan dalam mengekalkan operasi dan mengharungi tempoh ketidaktentuan ekonomi global ini.

Selaras dengan usaha industri untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan, MBSB Bank turut memperkemas proses penilaian kredit bagi memastikan perniagaan yang terjejas menerima bantuan tepat pada masanya.

“Kami mengiktiraf  PKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia, namun mereka sering menjadi yang paling terdedah kepada perubahan geopolitik global.

“SME SRF adalah satu intervensi proaktif yang direka untuk menyediakan penampan kecairan penting bagi perniagaan yang berdepan gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos operasi.

“Dengan memperkemas proses penilaian kredit, kami memastikan PKS yang layak menerima sokongan kewangan segera yang diperlukan untuk mengekalkan kesinambungan perniagaan dan muncul lebih berdaya tahan walaupun dalam keadaan pasaran yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MBSB Bank menawarkan pembiayaan sehingga RM750,000 bagi setiap PKS untuk membantu meringankan kekangan aliran tunai, mereka yang yang layak boleh mendapatkan pembiayaan dengan tempoh sehingga lima tahun, pada kadar pembiayaan maksimum 3.75 peratus setahun (termasuk yuran jaminan).

Pembiayaan ini disokong oleh jaminan sehingga 80 peratus daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), khususnya untuk PKS yang tidak mempunyai cagaran mencukupi.

Kemudahan ini dikhususkan untuk tujuan modal kerja dan sama sekali tidak termasuk penstrukturan semula mana-mana kemudahan sedia ada. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN