fbpx
Alzafny ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, hari ini. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/KOSMO!

Krisis adat: Polis laksana ‘close monitoring’ pemilik akaun media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Negeri Sembilan melaksanakan ‘close monitoring’ atau pemantauan rapi berhubung kenyataan dan penyebaran kandungan di media sosial terutamanya berkaitan adat di negeri itu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pemantauan berkenaan adalah bagi mengesan mana-mana pemilik akaun media sosial yang cenderung membuat hantaran atau komen berpotensi mencetuskan provokasi, keresahan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Setakat ini, kita sedang melengkapkan siasatan membabitkan 49 individu baik berhubung kenyataan provokasi ini baik bagi individu yang menetap di negeri ini atau luar. Kertas siasatan yang telah lengkap akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya bagi mendapatkan arahan selanjutnya.

“Kita sentiasa berusaha untuk memastikan ketenteraman dan keamanan Negeri Sembilan terpelihara serta sentiasa menganalisis sentimen yang berlegar di media sosial.

“Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba menangguk di air yang keruh. Jadi, sebarang perbuatan provokasi, hasutan, ataupun campur tangan pihak-pihak yang terlibat yang boleh dilihat mengganggu-gugat kepada keamanan dan ketenteraman kepada penduduk akan diambil tindakan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Ujar Alzafny lagi, siasatan bagi komen serta hantaran tersebut akan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sehubungan itu menurutnya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan provokasi, menggugat ketenteraman awam serta menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja), khususnya melalui media sosial.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN