fbpx
Honda Mobilio dipandu seorang wanita disita JPJ selepas disyaki kenderaan klon. IHSAN JPJ WPKL

Honda Mobilio hadiah hari jadi ibu rupanya kereta klon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebuah Honda Mobilio yang didakwa hadiah sempa hari lahir ibu membongkarkan status kereta klon selepas ditahan dalam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Genting Klang, di sini malam tadi.

Kenderaan itu ditahan pada pukul 7 malam menerusi Ops KPA selepas Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan tamat tempoh selain tiada perlindungan insurans.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, semakan mendapati jenis kereta itu tidak sepadan dengan rekod dalam sistem MySikap.

“Pemeriksaan ke atas nombor casis dan nombor enjin turut mendapati kenderaan itu tiada rekod pendaftaran yang sah menimbulkan syak ia berkemungkinan kenderaan klon.

“Wanita tempatan berusia 34 tahun yang memandu kereta itu mendakwa dia menggunakan kenderaan tersebut sejak seminggu lalu selepas dipinjamkan oleh ahli keluarganya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, wanita itu turut mendakwa kereta tersebut merupakan hadiah hari jadi untuk ibunya dan urusan pembelian dilakukan oleh abangnya yang menetap di Singapura.

Susulan itu, JPJ Kuala Lumpur mengeluarkan Notis Saman P22 dan menyita kereta itu mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.

Antara kesalahan yang dikesan adalah menggunakan kenderaan tidak berdaftar di bawah Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, mempamerkan nombor pendaftaran milik kenderaan lain mengikut Seksyen 108(3)(f) akta sama serta tiada perlindungan insurans di bawah Seksyen 90(1).

Ujarnya, penggunaan kenderaan klon dipandang serius kerana boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya dan menyukarkan proses penguatkuasaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN