KUALA LUMPUR – Polis akan menjalankan siasatan dakwaan rangkaian sindiket pengedaran dadah yang dipercayai didalangi anggota polis di sekitar Pulau Langkawi.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya wujud ancaman sedemikian kepada keselamatan negara.
“Itu (dakwaan) masih lagi dalam siasatan, saya perlu pastikan siapakah yang terlibat, individu yang berkaitan atau pun kumpulan-kumpulan yang berkaitan. Jadi kita tak dapat nak komen buat sementara.
“Insya-Allah saya akan panggil untuk adakan sidang akhbar. Tahun ini sahaja kita buat banyak rampasan besar-besaran bagi memastikan keselamatan negara terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Polis Diraja Malaysia Special Dialogue 2026 di sini, hari ini.
Ditanya sekiranya tindakan di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan diambil sekiranya wujud penglibatan anggota polis dalam sindiket terbabit, Mohd Khalid berkata, pihaknya akan terus mengambil tindakan dari sudut undang-undang.
“Kalau dia berkaitan dengan undang-undang keselamatan dan sebagainya, kita tidak teragak- agak untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang,” ujarnya.
Terdahulu sebuah akhbar tempatan melaporkan, melaporkan selepas kematian Pablo Escobar Langkawi dikenali sebagai Mat Nahar enam tahun lalu, muncul semula satu rangkaian pengedaran dadah yang didakwa beroperasi secara tersusun di sekitar kepulauan itu dan didalangi seorang anggota polis dikenalı sebagai ‘Mr A.
Laporan itu turut mendakwa beberapa individu yang pernah menjadi ahli sindiket Mat Nahar kini dipercayai bekerja di bawah
rangkaian baharu berkenaan selepas kematian ketua mereka.- KOSMO! ONLINE














