JOHOR BAHRU – Sindiket menjadikan rumah sewa sebagai tempat membungkus dadah terbongkar selepas enam lelaki ditahan dalam dua operasi berasingan melibatkan rampasan dadah bernilai RM4.77 juta, minggu lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, operasi pertama dilakukan pada 7 Mei lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) dan berjaya merampas dadah dianggarkan 27.54 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan berjumlah RM3.65 juta.
“Dalam tiga serbuan berbeza, polis berjaya menahan lima lelaki berusia 27 hingga 50 tahun di sekitar Johor Bahru. Sindiket aktif sejak Mac lalu menggunakan modus operandi menjadikan apartmen ‘gated and guarded’ sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Ujian saringan awal air kencing kesemua suspek positif dadah dan ditahan reman selama tujuh hari bermula 8 hingga 14 Mei. Empat suspek mempunyai rekod melibatkan dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Chuan Huat berkata, dalam operasi kedua pada 8 Mei lalu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Utara berjaya menahan seorang lelaki 21 tahun di sebuah rumah sewa Taman Perling serta merampas dadah dianggarkan berjumlah RM1.12 juta.
“Suspek berperanan sebagai pengedar dadah dan sindiket ini telah aktif sejak Januari lalu. Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin. Modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan rumah teres sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














