KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menegaskan setiap pelantikan pegawai kanan dalam organisasi itu dibuat berasaskan merit, integriti dan mengikut keperluan strategik pertahanan negara.
ATM berkata, proses pemilihan pegawai dilaksanakan secara profesional dan menyeluruh dengan mengambil kira rekod kepimpinan, pengalaman operasi, kompetensi, kelayakan profesional dan kesesuaian jawatan mengikut keperluan semasa perkhidmatan.
Katanya, bagi jawatan yang bersifat kritikal dan strategik, elemen Subject Matter Expert (SME) turut menjadi faktor penting termasuk pengalaman penugasan bersama antara perkhidmatan, pendedahan di peringkat nasional serta antarabangsa selain keupayaan mengurus kerjasama pelbagai agensi dan pemegang taruh.
“Pelantikan pegawai kanan ATM tidak dinilai semata-mata berdasarkan kor, cabang atau perkhidmatan asal seseorang pegawai.
“Sebaliknya, ia dibentuk melalui kombinasi pengalaman pemerintahan, operasi, kursus profesional ketenteraan, pengurusan strategik, penugasan bersama serta pendedahan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media bertajuk ‘Lantik pegawai kanan ATM ikut merit’ yang mendakwa wujud dwistandard bagi pelantikan ATM yang menjejaskan keadilan, kepercayaan anggota dan kredibiliti institusi.
ATM berkata, setiap pandangan yang dikemukakan pelbagai pihak dilihat sebagai tanda keprihatinan terhadap institusi pertahanan negara.
Tambahnya, semua keputusan pelantikan dilaksanakan mengikut lunas perundangan serta proses dalaman yang tersusun dan teliti bagi memastikan kesinambungan pemerintahan serta keyakinan terhadap kredibiliti pegawai yang dipilih.
“Kementerian Pertahanan dan ATM kekal komited memastikan setiap pelantikan pegawai kanan dibuat secara profesional, telus dan berasaskan merit demi memperkukuh ATM sebagai institusi pertahanan negara yang berwibawa dan terus diyakini rakyat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














