fbpx
Adly ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang Kementerian Pertahanan Tahun 2026 di Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/KOSMO!

10,511 warga Mindef, ATM terima APC dan PPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 10,511 warga Kementerian Pertahanan (Mindef), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pesara menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang (PPT) Tahun 2026 sebagai penghargaan terhadap jasa dan khidmat bakti mereka.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, daripada jumlah itu, seramai 871 penerima melibatkan warga awam kementerian, 9,467 anggota ATM daripada tiga cabang perkhidmatan dan 172 pesara.

Menurutnya, penyampaian anugerah tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam menghargai penjawat awam dan anggota keselamatan yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan mereka.

“Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ini merupakan satu kaedah pengiktirafan kepada penjawat awam yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua penerima APC dan juga para pesara yang diraikan hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang Kementerian Pertahanan Tahun 2026 di Royale Chulan, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam masa sama, Adly turut mengingatkan seluruh warga Mindef supaya terus membudayakan integriti dalam setiap pelaksanaan tugas.

Katanya, integriti bukan sekadar menolak rasuah, sebaliknya mencerminkan sikap amanah, bertanggungjawab, telus dan berdisiplin dalam melaksanakan tugasan.

“Setiap pegawai perlu memastikan kepentingan organisasi dan negara sentiasa diutamakan, menjaga kerahsiaan maklumat serta mematuhi peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan.

“Dengan ini, kita bukan sahaja dapat memelihara kepercayaan rakyat malah mengukuhkan reputasi Kementerian Pertahanan sebagai institusi yang profesional dan diyakini,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan turut memperkenalkan beberapa inisiatif bagi meningkatkan kecemerlangan pegawai awam dan anggota ATM termasuk peruntukan RM400,000 bagi tujuan latihan kompetensi pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN