BACHOK – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam sanggup berhenti kerja sebagai pembantu jualan pakaian demi menjaga kembarnya yang terlantar akibat masalah ketumbuhan usus di Kampung Badak, di sini sejak sebulan lalu.
Muhammad Rostam Razali, 32, mengambil keputusan itu kerana adik, Muhammad Raduan yang juga OKU kategori sama menghidap masalah ketumbuhan usus selepas mengalami muntah berterusan dan pening kronik.
Muhammad Rostam berkata, adiknya dijadualkan menjalani janji temu susulan di klinik pesakit luar pembedahan (SOPD) di Hospital Bachok pada 5 Mei ini.
“Sebelum ini, saya kerja dengan gaji harian RM40, manakala adik pula bekerja sebagai pembantu dapur dengan upah sekitar RM20 mengikut jam.
“Kini dia langsung tidak boleh makan makanan keras kerana akan muntah. Jadi, dia hanya bergantung sepenuhnya kepada susu khas yang disarankan pihak hospital,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Katanya, adiknya masih boleh bergerak, namun perlu dipapah untuk mandi dan ke tandas kerana bimbang dia akan rebah.
“Muhammad Raduan sebelum ini hanya tidur di atas lantai, namun kini keadaan sedikit berubah apabila ada individu tampil menyumbangkan katil pesakit untuk keselesaannya.
“Kami berdua masih bujang dan ada seorang abang yang tinggal di Jelawat, di sini dalam keadaan serba kekurangan.
“Kami berdua tinggal di rumah pusaka keluarga yang sudah uzur apabila lantai kayu banyak yang telah reput, manakala dinding dimakan anai-anai.
Nasib ada rakan-rakan membantu membaiki lantai rumah selain menyumbang keperluan asas,” ujarnya.
Katanya, selepas tidak bekerja, dia dan Muhammad Raduan hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 yang diterima adiknya.
“Buat masa ini, kami tidak pernah putus bekalan makanan apabila penghulu kampung beri sumbangan dua kampit beras setiap bulan selain bantuan jiran-jiran. Ada juga bekas rakan sekolah yang sepakat membeli susu khas berharga lebih RM100 setin untuk adik,” katanya.
Orang ramai boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional 0310 9290 0019 8465 atau hubungi Muhammad Rostam di talian 011-5147 3694.














