PASIR PUTEH – Seorang tekong darat bertindak melarikan diri meninggalkan seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di tebing Sungai Kutan Hilir, Pasir Pekan dekat Tumpat pada Rabu lalu selepas kegiatannya untuk mengangkut kesemua warga asing itu dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan.
Serbuan dijalankan menerusi Op Naga, Op Damai, Op Pelantar Merah dan Op Tiris di perairan Sungai Kelantan kira-kira pukul 11 malam itu menahan kesemua PATI warga Myanmar termasuk dua wanita yang berusia 16 hingga 36 tahun.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, anggotanya mengesan sebuah bot laju yang bergerak dalam gelap menuju ke tebing sungai berhampiran di Kampung Kedai Buloh, Kota Bharu kira-kira pukul 9.58 malam, sebelum berjaya dipintas ketika tiba di kawasan tebing Sungai Kutan Hilir dekat Tumpat sejam kemudian.
“Serbuan dijalankan di kawasan itu sebelum menjumpai sembilan PATI warga Myanmar yang sudah berada dalam keadaan berhimpit di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza manakala lima lagi individu bersembunyi di kawasan semak berhampiran tebing sungai berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut terhadap MPV itu turut menemukan sebuah beg berisi MyKad seorang lelaki berusia 29 tahun dipercayai milik tekong darat yang sepatutnya membawa kesemua PATI tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM Kelantan di sini hari ini.
Kamal memberitahu, hanya lima PATI memiliki pasport, namun tiada sebarang rekod perjalanan sah untuk masuk ke negara ini manakala sembilan lagi tiada dokumen perjalanan.
“Kita sedang mengesan tekong darat yang terlibat dalam kes itu dan kesemua PATI dihantar ke Ibu Pejabat APMM Kelantan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














