fbpx
Tuan Nurhan Syafiy (kanan) tidak menyangka videonya membuka laluan untuk sebuah ambulans tular di media sosial.

[VIDEO] ‘Berjurai air mata sewaktu iring ambulans’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Berjurai air mata sepanjang perjalanan ke hospital tu, sebab saya takut orang yang saya kenal ada dalam ambulans tu, saya akan menyesal kalau tak sempat sampai.”

Demikianlah luahan seorang penunggang motosikal yang tular selepas membantu membuka laluan kepada sebuah ambulans yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Kuantan baru-baru ini.

Pemuda berkenaan, Tuan Nurhan Syafiy Tuan Nor Azham Shah, 23, berkata, dia tidak pernah menyangka tindakannya itu akan mendapat perhatian ramai kerana baginya, membantu ambulans adalah tanggungjawab setiap pengguna jalan raya.

Menurut pelajar semester enam Ijazah Sarjana Muda Seni Visual di UCYP Universiti, kejadian berlaku sekitar pukul 4 petang ketika dia dalam perjalanan pulang ke hostel di Tanjung Lumpur selepas menghadiri latihan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

“Waktu keluar dari kawasan universiti, jalan memang sesak teruk dan kenderaan langsung tidak bergerak. Saya sebenarnya nak pergi isi minyak sebab motosikal pun hampir kehabisan minyak.

“Tiba-tiba saya dengar bunyi siren ambulans dari belakang. Saya sendiri yang menunggang motosikal pun susah nak menyelit, apatah lagi ambulans. Pada masa itu saya nampak ramai pemandu tidak menyedari kehadiran ambulans tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurutnya, dia percaya antara punca ambulans sukar mendapat laluan adalah kerana sesetengah pemandu leka menggunakan telefon bimbit selain bunyi siren yang agak samar akibat kesesakan lalu lintas.

“Saya ketuk tingkap beberapa kereta dan beri isyarat tangan menunjukkan ada ambulans di belakang. Bila mereka sedar, mereka terus memberi laluan. Saya nampak wajah pemandu ambulans itu agak gelisah. Siren kecemasan yang digunakan juga berbeza dan membuatkan saya lebih peka. Saya terfikir mungkin pesakit dalam keadaan sangat tenat,” ujarnya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia kemudian mengambil keputusan mengiringi ambulans berkenaan sehingga tiba di hospital bagi membantu melancarkan perjalanan kenderaan kecemasan tersebut.

“Masa tu walau minyak motosikal saya memang nak habis, tapi Allah cukupkan untuk sampai ke hospital. Lampu isyarat semua pun hijau. Berjurai air mata masa tu, sebab saya takut orang yang berada di dalam ambulans itu seseorang yang saya kenal.

“Sebab itu saya cuba sedaya upaya memudahkan perjalanan ambulans tersebut. Sampai di hospital, pemandu ambulans sempat mengucapkan ‘terima kasih’ menerusi pembesar suara,” katanya.

Tambah Tuan Nurhan Syafiy, semangat membantu orang lain telah diterapkan sejak kecil oleh ibunya yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Dia difahamkan, pesakit yang dibawa di dalam ambulans ketika kejadian adalah merupakan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

“Ibu saya bertugas di wad kanak-kanak. Dia maklumkan pada saya nanti dia nak kenal pasti mana satu kanak-kanak yang dalam ambulans tu. Ibu terkejut masa tahu video saya tular, selepas itu kawan-kawan semua kongsikan video pada dia. Ibu memang sentiasa ingatkan kepentingan membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira masa dan keadaan. Bapa pula seorang anggota bomba, jadi sifat kemanusiaan memang ditanam dari kecil,” katanya.

Dia juga berkata, meskipun tular di media sosial videonya sejak semalam, namun ini bukanlah pengalaman kali pertama dirinya membantu kenderaan kecemasan di atas jalan raya.

“Sebelum ini pun sudah beberapa kali saya bantu ambulans, bukakan laluan. Bukan ambulans je, jentera bomba pun pernah.

“Kalau orang selalu kata Gen Z ni sikapnya lain, ‘common sense’ kurang ke, saya tak setuju. Sebab saya dari usia 18 tahun sudah ikut NGO, sertai aktiviti sukarelawan. Di universiti pun saya sememangnya aktif dengan kerja amal dan sukarelawan,” katanya.

Mengulas mengenai sikap pengguna jalan raya, dia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap kehadiran kenderaan kecemasan dan tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Kurangkan penggunaan telefon ketika memandu kerana beberapa saat leka boleh memberi kesan kepada nyawa seseorang. Kadang-kadang pesakit dalam ambulans itu sedang bertarung antara hidup dan mati,” katanya.- KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN