SHAH ALAM – Program Ambulans Kita Selangor diperluaskan di seluruh negeri dalam memastikan jaringan akses kesihatan terutama kepada mereka yang berpendapatan rendah.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan fasa kedua susulan kejayaan inisiatif yang diperkenal pada November tahun lalu sehingga bulan lalu yang telah mengurus 374 perjalanan pergi dan pulang 103 pesakit.
Menurutnya, rekod mendapati tiga lokaliti iaitu Taman Medan (Petaling Jaya), Sijangkang (Kuala Langat) dan Paya Jaras (Sungai Buloh) mencatatkan penggunaan ambulans tertinggi.
“Ini bermakna kawasan pinggir bandar memerlukan bantuan dan sokongan lebih besar berbanding kawasan lain.
“Mereka ini bukan hanya mendapat rawatan di hospital dalam Selangor sebaliknya juga di Putrajaya, Kuala Lumpur selain Teluk Intan dan Slim River di Perak.
“Jadi kita lihat keperluannya menyeluruh. Ia turut mendapat permintaan daripada kawasan perumahan penduduk berpendapatan rendah (B40) serta sederhana kerana keperluan ini memberi sokongan lebih baik berbanding sewa ambulans swasta,” katanya pada pelancaran program itu di sini, hari ini.
Kata beliau, fasa kedua akan lebih menyeluruh termasuk 86 buah klinik kesihatan seluruh negeri berbanding 23 fasiliti melibatkan hospital sahaja.
“Kita akan terus menggunakan 48 ambulans dibawah St John Ambulans secara keseluruhan.
“Bagi fasa kedua ini juga akan melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta seperti fasa pertama sebelum ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE















