KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) kini di peringkat akhir perolehan 989 unit ambulans baharu bagi menangani masalah kekurangan kenderaan berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pelantikan syarikat pembekal bagi perolehan berkenaan dijangka dimuktamadkan pada Disember 2026, sebelum ambulans terbabit dibekalkan secara berperingkat.
Pada masa sama, kerajaan meluluskan peruntukan bagi perolehan tambahan ambulans sebanyak 400 unit menerusi Belanjawan 2027.
“Ini menjadikan keseluruhan ambulans baharu yang bakal diterima KKM sebanyak 1,389 unit.
“Jumlah itu dijangka dapat membantu menangani serta mengurangkan kekurangan ambulans yang dihadapi pada masa ini,” katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa Kementerian Kesihatan (KKM) di Dewan Rakyat, hari ini.
Dzulkefly berkata, proses perolehan 989 unit ambulans baharu itu kini dalam tindakan Kementerian Kewangan (MOF) selepas Lembaga Perolehan Kementerian (LPE) membuat keputusan dan cadangan berkenaan dikemukakan oleh Ketua Setiausaha KKM.
Katanya, kementerian sudah mengenal pasti enam syarikat pembekal bagi memastikan kontrak tidak diberikan sepenuhnya kepada satu syarikat sahaja, sekali gus mengelakkan kebergantungan kepada satu pihak.
“Dalam proses ini, kita menolak pendekatan yang memberikan keseluruhan kontrak kepada hanya satu syarikat ataupun ‘one winners takes all’, itu zaman lama.
“Kita sudah mengenal pasti enam syarikat pembekal dan mengemukakan cadangan berkenaan kepada MOF.
“MOF juga sudah memaklumkan keputusan kepada pihak kementerian,” katanya.
Beliau berkata, KKM sepatutnya menerima 590 unit ambulans baharu selewat-lewatnya akhir 2024 menerusi kontrak dianugerahkan pada 2022.
Bagaimanapun, katanya, syarikat pembekal yang dilantik hanya berjaya membekalkan 115 unit ambulans sepanjang tempoh kontrak yang berakhir pada November 2024.
“Keadaan itu menyebabkan KKM mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak berkenaan, jika tidak kita seolah-olah memberi ganjaran atas kegagalan syarikat pembekal melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Susulan itu, KKM menyelaraskan semula peruntukan sedia ada dan mendapatkan peruntukan tambahan bagi melaksanakan perolehan ambulans melalui kontrak baharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














