fbpx
Tangkap layar video aksi wheelie seorang penunggang motosikal sambil membawa isteri dan anak perempuannya di Alor Setar yang tular di media sosial, hari ini.

Lelaki buat aksi ‘wheelie’ bawa ‘keluarga’ dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Tindakan seorang lelaki melakukan aksi ‘wheelie’ ketika menunggang motosikal sambil membawa isteri dan anak perempuannya mengundang padah apabila dia ditahan polis selepas rakaman perbuatannya itu tular di media sosial, hari ini.

Lelaki berusia 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di pekarangan Balai Trafik IPD Kota Setar kira-kira pukul 3.40 petang tadi. 

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, siasatan dijalankan selepas polis mengesan video berdurasi 17 saat yang dimuat naik di Facebook memaparkan aksi berbahaya tersebut.

Katanya, video itu menunjukkan sebuah motosikal melakukan aksi mengangkat tayar hadapan di jalan Lebuhraya Darul Aman berhampiran Dataran Bandar Alor Setar sambil membawa dua pembonceng.

“Hasil siasatan mendapati penunggang membawa seorang wanita berusia 25 tahun yang merupakan isterinya di bahagian belakang serta anak perempuan yang berusia empat tahun di bahagian hadapan motosikal.

“Kejadian sebenar dipercayai berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 28 Mac lalu ketika mereka dalam perjalanan menuju ke Jalan Pegawai untuk makan malam bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, ketika melalui kawasan Dataran Bandar Alor Setar, lelaki terbabit bertindak melakukan aksi ‘wheelie’ yang bukan sahaja membahayakan dirinya dan ahli keluarga, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai operator kilang didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) motosikal tamat tempoh

“Polis turut menyita sebuah motosikal Honda NBC110 berwarna biru bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya,” ujarnya.

Beliau pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan aksi berbahaya di jalan raya serta sentiasa mengutamakan keselamatan diri, penumpang dan pengguna jalan raya lain.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan aksi berbahaya seorang lelaki ‘wheelie’ motosikal sambil membawa pembonceng dipercayai isteri dan anaknya mengundang kecaman orang ramai.

Kejadian yang dipercayai berlaku pada waktu malam di sini itu mencetuskan kebimbangan apabila kanak-kanak berkenaan dilihat tidak memakai topi keledar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN