SEREMBAN – Malaysia akan terus mempertahankan dasar melarang kemasukan warga Israel ke negara ini walaupun menerima kritikan daripada beberapa penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, larangan itu termasuk dalam soal perdagangan mengambil kira dasar negara yang yang telah dilaksanakan Malaysia sejak puluhan tahun lalu dan bukanlah sesuatu yang baharu.
“Ternyata mereka tidak ikuti langsung perkembangan. Banyak negara yang melarang dan Malaysia sudah melarang puluhan tahun.
“Jadi mereka menggunakan kesempatan sekarang untuk mengugut saya dan Malaysia dengan memohon supaya kerajaan Amerika mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan sekumpulan Ahli Kongres AS yang mahu pentadbiran negara itu mengkaji semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia.
Ini susulan tindakan Putrajaya terhadap warga Israel yang didakwa memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua.
Jelas Anwar, sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia berhak menentukan dasar sendiri.
Beliau berkata, penentangan terhadap Israel berikutan kezaliman, penjajahan serta pembunuhan yang dilakukannya setiap hari sehingga menyebabkan ramai umat Islam yang terkorban. – KOSMO! ONLINE














