SEREMBAN – Seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun 11 bulan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, suspek yang merupakan bapa tiri mangsa ditahan pada pukul 10.55 malam, semalam, di hadapan Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sering dipukul dirumah dan di dalam kereta dengan pihaknya menerima laporan daripada ibu kanak-kanak itu pada pukul 8.30 malam, semalam.
“Pemeriksaan fizikal mendapati terdapat kesan lebam kemerahan pada bahagian hadapan dan belakang badan mangsa yang dipercayai akibat dicubit,” katanya kepada di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa telah dihantar ke HTJ Seremban untuk rawatan lanjut dan hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing didapati negatif.
Menurutnya, Mahkamah Majistret Seremban membenarkan permohonan reman terhadap suspek selama tujuh hari bermula 14 hingga 20 Jun bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE














