PETALING JAYA – Dituduh kejayaannya mendapat gelaran Queen’s Guide dan King’s Scout didorong nama besar keluarga, pempengaruh Kasih Iris Leona menegaskan, setiap pencapaian yang diraih adalah hasil keringat dan usaha sendiri.
Menepis dakwaan nepotisme, Leona berkata pengiktirafan tersebut bukan sesuatu yang boleh diperoleh hasil kedudukan dan pengaruh keluarga, sebaliknya menuntut komitmen, disiplin dan pencapaian kendiri.
Ujar Leona atau nama sebenarnya Kasih Iris Leona Azhar, 23, tuduhan tersebut bukan sahaja tidak berasas, malah seolah-olah menafikan segala pengorbanan dan jerih perih dilaluinya sepanjang menjalani latihan kepanduan.
“Kononnya ada orang muat naik gambar saya menerima Queen’s Guide dan King’s Scout, kemudian ramai pula kata ini semua sebab nepotisme.
“Kalau nepotisme boleh berkayak sejauh 40 kilometer di laut dan selamatkan saya daripada mati, maka ya, mungkin itu nepotisme.
“Kalau nepotisme boleh bina seluruh tapak perkhemahan seorang diri, maka ya, mungkin betul. Kalau nepotisme boleh tulis tangan 13 buku log untuk kepanduan, maka ya, saya setuju,” katanya dalam TikTok.
Anak kepada aktor Azhar Sulaiman itu turut menafikan dakwaan kononnya ibunya memegang jawatan penting dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia sehingga memberinya kelebihan dalam penilaian.
“Ada yang kata ibu saya ialah Ketua Pesuruhjaya Pandu Puteri Malaysia. Tidak. Ibu saya langsung tiada jawatan dalam organisasi itu sama ada di Malaysia atau peringkat dunia.
“Malah ketika saya dan kakak menjalani ujian, ibu saya sendiri tidak dibenarkan menjadi penguji kerana anaknya terlibat dalam penilaian tersebut,” jelasnya.
Mengimbas cabaran dilalui, Leona mendedahkan pengalaman getir sepanjang menjalani penarafan King’s Scout, termasuk terpaksa bekerja keras tanpa sebarang keistimewaan.
“Sedangkan peserta lain sudah mempunyai buluh siap dipotong, kami berlima perlu mengukur dan memotong semuanya sendiri sebelum membina tapak perkhemahan.
“Saya berjaga sehingga pukul 3 pagi. Lampu kepala saya habis bateri, jadi saya terpaksa guna telefon sebagai lampu.
“Saya turut melukakan jari ketika memotong buluh, menangis sekejap, tampal plaster dan sambung semula kerja sehingga siap,” luahnya.
Tambahnya, dia juga perlu menguasai pelbagai kemahiran teknikal termasuk mengikat 40 jenis simpulan dalam tempoh masa singkat.
“Kalau nepotisme boleh buat saya hafal semua simpulan itu, mungkin saya setuju.
“Hakikatnya saya lulus sebab saya berusaha bersungguh-sungguh,” tegasnya.
Paling penting katanya, dia berharap masyarakat lebih menghargai usaha individu lain dan tidak mudah melabel tanpa mengetahui kisah sebenar.
“Saya minta jangan memperkecilkan usaha orang lain hanya untuk membuat diri sendiri rasa lebih baik.
“Mungkin saya memang hebat. Mungkin saya memang bijak. Mungkin saya memang mampu.
“Dan tiada apa yang salah dengan perkara itu,” tuturnya.
Terdahulu, seorang netizen mendakwa Leona dan kakaknya sebagai ‘useless’ ketika berkhemah selain mendakwa ibunya memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya Pandu Puteri Malaysia, sekali gus memberi kelebihan dari segi kemudahan.
Bukan itu sahaja, individu itu juga mendakwa Leona tidak mahir melakukan ikatan asas selain pernah tewas dalam pertandingan dan menyerang pemenang dalam Twitter. – KOSMO! ONLINE.














