fbpx
Gambar hiasan

JAWI nafi swastakan urusan pengebumian Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menafikan dakwaan bahawa urusan pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan akan diswastakan menerusi projek pembangunan tanah perkuburan awam baharu.

Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan berkata, projek pembangunan tanah perkuburan awam Wilayah Persekutuan di Lot PT3458 dilaksanakan menerusi kaedah pertukaran tanah antara Route Edge Sdn. Bhd. dengan Kerajaan Madani.

Menurut beliau, hartanah yang terlibat masih kekal di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan diwartakan sebagai Tanah Perkuburan Awam seluas 222.68 ekar.

“Projek ini merupakan inisiatif Kerajaan Madani bagi mengatasi masalah kekurangan tanah pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan yang semakin terhad.

“Menerusi kaedah itu, syarikat berkenaan akan membangunkan jalan pintas keluar masuk dari Sungai Lalang ke Lebuh Raya Lingkaran Kajang (SILK) sepanjang 4.34 kilometer serta menyediakan satu tapak perkuburan awam Wilayah Persekutuan di lot yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanifuddin berkata, pembangunan tapak perkuburan berkonsepkan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) itu melibatkan penyediaan sehingga 104,000 lot kubur yang diunjurkan mampu menampung keperluan pengebumian selama 28 tahun.

Katanya, syarikat terbabit turut membina pelbagai kemudahan termasuk pejabat pentadbiran, surau, ruang pengurusan jenazah, kuarters, pondok pengawal serta infrastruktur berkaitan.

“Tapak perkuburan yang dijangka siap pada 2029 itu akan diserahkan kepada JAWI untuk diuruskan sepenuhnya.

“Apabila ia mula beroperasi, JAWI akan bertanggungjawab mengendalikan proses pengurusan jenazah termasuk jenazah tidak berwaris, urusan pengebumian dan penyelenggaraan tanah perkuburan sebagaimana lapan TPIRS sedia ada di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, penjelasan itu diharap dapat memberi kefahaman kepada masyarakat Islam bahawa penyediaan tapak pengebumian baharu dibuat bagi memastikan kapasiti tanah perkuburan awam mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa dan masa depan, selaras dengan ruang tanah perkuburan yang semakin berkurangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN