fbpx
Hannah Yeoh (tengah) bersama Fadlun ketika meninjau di Perumahan Awam Seri Sarawak dan Jalan Loke Yew, hari ini.

DBKL belanja lebih RM13 juta naik taraf dua perumahan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membelanjakan lebih RM13 juta bagi melaksanakan pelbagai projek naik taraf dan penyelenggaraan di Perumahan Awam (PA) Seri Sarawak dan PA Jalan Loke Yew.

DBKL dalam kenyataan berkata, usaha itu melibatkan kerja-kerja transformasi visual bangunan, penaiktarafan sistem elektrik dan janakuasa serta penambahbaikan ciri keselamatan kebakaran yang dilaksanakan secara berfasa.

Perkembangan tersebut ditinjau menerusi lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud ke kedua-dua perumahan awam berkenaan hari ini.

Menurut DBKL, di PA Seri Sarawak yang mempunyai 768 unit kediaman, pihaknya telah melaksanakan kerja-kerja pengecatan semula bangunan dan turapan jalan dengan kos RM2.66 juta.

“Selain itu, sistem janakuasa dan elektrik turut dinaik taraf menerusi penggantian genset serta penaiktarafan kabel utama dengan peruntukan RM2.5 juta. Bagi memperkukuhkan aspek keselamatan penghuni, kerja-kerja penggantian paip dry riser dan wet riser turut dilaksanakan dengan kos RM375,000,” katanya.

Sementara itu, DBKL berkata, PA Jalan Loke Yew yang menempatkan 1,007 unit kediaman pula menerima peruntukan RM4.14 juta bagi kerja-kerja pengecatan semula bangunan.

“Sistem janakuasa dan elektrik di kawasan itu turut dipertingkatkan menerusi penggantian genset dan penaiktarafan kabel utama dengan kos RM3.2 juta. Pada masa sama, kerja-kerja penggantian paip dry riser dan wet riser bagi meningkatkan tahap keselamatan kebakaran dilaksanakan dengan kos RM473,000,” ujarnya.

DBKL menambah, pelaksanaan projek-projek berkenaan bukan sahaja memberi wajah baharu kepada kawasan perumahan awam, malah meningkatkan tahap keselamatan, kebolehpercayaan sistem utiliti dan keselesaan penghuni.

Selain projek naik taraf, DBKL turut meneruskan kerja-kerja penyelenggaraan berkala melibatkan jalan dalaman, taman permainan kanak-kanak, sistem pencahayaan, lif serta pengurusan aduan dan pemeriksaan berkala bagi memastikan setiap kemudahan sentiasa berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan sempurna.

DBKL berkata, usaha berterusan itu mencerminkan komitmennya untuk memastikan aset perumahan awam di Kuala Lumpur terus dipelihara serta dipertingkatkan sejajar dengan keperluan semasa, sekali gus mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selamat, selesa dan berkualiti untuk warga kota. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN