fbpx
Fadillah melawat reruai TNB di Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon 2026) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/ KOSMO!

TNB peruntuk RM43 bilion perkukuh sistem grid negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melabur RM43 bilion dalam tempoh 2025 hingga 2027 bagi menaik taraf dan memperkukuh sistem grid elektrik negara termasuk mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Amar Fadillah Yusof berkata, pelaburan tersebut penting bagi menyokong pembangunan tenaga boleh baharu dan memenuhi peningkatan permintaan elektrik pada masa hadapan.

Menurutnya, permintaan elektrik di Asia Tenggara dijangka berkembang antara empat hingga lima peratus setiap tahun dalam dekad akan datang.

Katanya, pertumbuhan itu didorong oleh perkembangan sektor perindustrian, pembandaran, penggunaan kenderaan elektrik serta pembangunan infrastruktur digital termasuk pusat data AI.

“Pusat data kini muncul sebagai antara sumber permintaan elektrik yang paling pesat berkembang di peringkat global. Justeru, negara perlu mempunyai sistem grid yang kukuh dan berdaya tahan bagi menyokong keperluan tersebut,” katanya ketika berucap pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon 2026) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Beliau berkata, inisiatif Grid Kuasa Asean merupakan contoh terbaik kerjasama serantau dalam memajukan perdagangan elektrik rentas sempadan dan memperkukuh keselamatan tenaga.

Menurutnya, rantau Asia Tenggara berada pada kedudukan yang baik untuk menarik pelaburan berkaitan tenaga sekiranya terus menyediakan dasar yang jelas dan mesra pelabur.

Katanya, kerajaan akan terus memainkan peranan menetapkan hala tuju, manakala sektor swasta pula membawa modal, teknologi dan kepakaran bagi memastikan agenda peralihan tenaga dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Peralihan tenaga bukan sahaja satu keperluan alam sekitar, tetapi juga keutamaan ekonomi dan strategik bagi Malaysia serta negara-negara Asean,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN