PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima laporan berhubung proses penilaian dan pelaksanaan kerja naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang sebelum ini mencetuskan perhatian susulan dakwaan berkaitan proses perolehan projek tersebut.
SPRM dalam kenyataan berkata, isu itu kini dalam perhatian pihaknya untuk siasatan dan tindakan lanjut termasuk penelitian melibatkan maklumat serta dokumen berkaitan yang diterima.
Katanya, pihaknya sentiasa memandang serius sebarang dakwaan yang mempunyai unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan kepentingan awam serta perolehan kerajaan.
“SPRM mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan bagi memastikan proses penelitian dapat dijalankan secara menyeluruh dan professional.
“Bagaimanapun, SPRM menyeru mana-mana pihak yang tampil menyalurkan maklumat terhadap sebarang isu berkaitan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa agar tidak mendedahkannya kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas SPRM, langkah ini diambil bagi mengelakkan kebocoran maklumat dan paling utama supaya ia tidak menjejaskan sebarang proses tindakan lanjut oleh pihaknya.
Terdahulu, media melaporkan, seorang kontraktor membuat laporan kepada SPRM berhubung isu naik taraf SNBJ bernilai RM24 juta yang dibangkitkan baru-baru ini.
Aduan itu tertumpu kepada dua tender berkaitan persiapan Sukan SEA 2027.
Ia melibatkan trek larian baharu dan sistem lantai pelindung yang digunakan semasa konsert serta acara besar.
Kontraktor tersebut membuat laporan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada Selasa lalu. – KOSMO! ONLINE














