PETALING JAYA – Dakwaan mengenai percanggahan dokumen kargo petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn. Bhd., Datuk Seri R. Jeyenderan berkata, aduan yang dikemukakannya menerusi e-mel pada pertengahan Jun lalu kini sedang dinilai oleh Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM) SPRM.
Menurut beliau, pihaknya menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan agensi berkenaan.
“Kami hanya mahu mengetahui status terkini siasatan dan sama ada maklumat tambahan diperlukan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, beliau hadir ke ibu pejabat SPRM, semalam bagi mendapatkan perkembangan berhubung siasatan kes tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan kebimbangan yang disuarakan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berhubung dakwaan percanggahan dokumen kargo petroleum kerana ia berpotensi membuka ruang kepada pelbagai bentuk salah laku.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim dilaporkan berkata, SPRM wajar memberi perhatian segera terhadap dakwaan itu sekiranya terdapat unsur rasuah, salah guna kuasa atau pemalsuan dokumen.
Mengulas lanjut, Jeyenderan berkata, siasatan serta dapatan berhubung aduan tersebut berpotensi memberi kesan yang lebih meluas terhadap industri.
“Ia membabitkan aspek pematuhan kawal selia, hasil kerajaan serta keyakinan terhadap industri maritim dan petroleum,” katanya. – KOSMO! ONLINE















