PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan reman seorang bekas penjawat awam kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu di tempatnya bekerja di bawah program bantuan kewangan berjumlah kira-kira RM300,000.
Perintah reman selama empat hari sehingga 17 Julai 2026 terhadap suspek dikeluarkan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2020 hingga 2025 ketika masih bekerja.
“Suspek juga dipercayai telah menggunakan maklumat 11 orang individu tanpa pengetahuan mereka untuk memohon bantuan tersebut dan memperoleh wang bantuan antara RM500 hingga RM1,000 setiap bulan yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohammad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE















