ATLANTA – Pengendali England, Thomas Tuchel berpeluang untuk merakam namanya dalam ‘buku sejarah’ The Three Lions jika berjaya mengesahkan pentas final Piala Dunia 2026.
Bagaimanapun, misi itu tidak akan hadir dengan mudah kerana bakal berdepan ujian sebenar dengan menentang juara bertahan, Argentina di pentas separuh akhir di Stadium Atlanta, awal pagi esok.
Tuchel berpeluang muncul pengurus asing keempat yang membawa pasukan dilatihnya layak ke final selepas George Raynor, Ernst Happel dan Zlatko Dalic.
Paling tidak, jika menang ke atas Argentina, Tuchel akan menyamai kejayaan Dalic yang membawa Croatia ke final Piala Dunia 2018 namun negara Balkan itu akur tewas kepada Perancis.
Ketika ini juga, tiada satu pun pasukan yang memenangi Piala Dunia ketika dilatih pengendali asing dan fakta ini membuka peluang buat Tuchel mencipta cerita baharu dalam arena bola sepak dunia.
“Sangat sengit dan saya sedang menikmati pencapaian ini. Adalah hebat untuk mengetuai pasukan ini mengharungi persiapan bagi berdepan cabaran selepas ini.
“Di sinilah yang saya mahu berada, bukan di tempat lain. Saya sedang menikmati detik hebat dalam saingan kalah mati di mana ia menuntut satu tahap yang lebih baik.
“Tahap latihan juga harus diperlahankan, namun semua orang sudah pun bersedia untuk harungi baki saingan kali ini. Kemenangan lepas banyak membantu pasukan, malah fasiliti juga amat baik sekali gus memudahkan kami untuk bersedia bagi berdepan cabaran,” katanya.
Dalam masa sama, kejayaan ke atas Argentina membolehkan menyamai pencapaian Piala Dunia 1966 ketika The Three Lions layak ke final sebelum bergelar juara dunia selepas kalahkan Jerman Barat.
Untuk rekod, Raynor muncul jurulatih luar yang pertama yang bawa pasukan dilatihnya iaitu Sweden ke final edisi 1958 sebelum tewas 2-5 kepada Brazil yang diketuai oleh Pele.
“Ada beberapa pemain yang bergelut dengan cabaran kali ini, Ezri Konsa salah seorang daripadanya yang berdepan isu kekejangan dan hamstring,” katanya. – AGENSI















